Pengembara Ke Labuan Dikenakan Sekatan Tambahan

31

29 JUN: Beberapa sekatan tambahan dikenakan bagi individu yang masuk ke Wilayah Persekutuan Labuan berikutan situasi semasa COVID-19 di kawasan tersebut. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya adalah setiap pengembara yang masuk ke Labuan diwajibkan menjalani ujian RT-PCR COVID-19 tiga hari sebelum ketibaan masuk. 

Bagi kuarantin wajib, beliau memaklumkan kuarantin 10 hari di rumah dikenakan bagi penduduk asal Labuan manakala penjawat awam turut dikenakan kuarantin di rumah atau hotel dalam tempoh sama.

“Bagi pelawat asing dari luar negara, tempoh wajib kuarantin di hotel adalah selama 14 hari. Pengguna Kad Harian Transporter diwajibkan mengambil ujian PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK antigen setiap minggu.

“Sign on dibenarkan untuk warganegara sahaja dan wajib menjalani kuarantin 14 hari dengan satu ujian RT PCR pada hari ke 10. Prosedur kemasukan ke Labuan adalah terpakai sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada individu yang telah mengambil vaksin COVID-19.

ISMAIL SABRI

“Sign off juga dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT PCR.

Kapal Kumpit pula ditangguhkan buat sementara waktu. Pelaksanaan sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini sehingga diberitahu kelak,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, hasil pemeriksaan ke atas 1,902 kilang dan 11,478 premis perniagaan sebanyak tiga  kilang dan sembilan premis telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP). 

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 93,459 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,717,” katanya. 

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan penurunan kepada 680 berbanding 886 kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan daripada keseluruhan tangkapan, seramai 659 individu dikompaun serta 20 orang lagi telah direman.

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 184 kes dan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis sebanyak 129 kes. 

“Kesalahan lain adalah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (117), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57), membawa penumpang berlebihan (47), premis gagal patuhi arahan (8) dan lain-lain (42),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.