Pemilihan UMNO semua jawatan ditangguh 18 bulan

50

29 JUN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesahkan pemilihan semua jawatan sama ada peringkat cawangan, mahupun bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan ditangguhkan selama 18 bulan bermula esok.

Berikutan itu Ahmad berkata pihaknya sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, surat-surat jawapan sudah diperoleh daripada Ketua Pengarah KKM bertarikh 10 Mei lalu sementara Ketua Pengarah ROS dan MKN masing-masing bertarikh 2 Jun dan 11 Jun lalu.

“Inti pati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian/maya.

AHMAD

“Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara dalam talian, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik COVID-19 adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat berikutan kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah benar.

Beliau berkata terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran 3.3 juta ahli UMNO iaitu 21,135 mesyuarat cawangan, wanita cawangan (21,058 mesyuarat), pemuda cawangan (15,496 mesyuarat) dan 8,598 mesyuarat puteri cawangan.

“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan,” katanya.

Ahmad berkata, keputusan penangguhan itu selaras fasal 10.16 Perlembagaan UMNO iaitu MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan dan penangguhan tidak boleh lebih daripada lapan belas bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya.

“Pada 30 Jun 2021 (esok) genap tiga tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula,” katanya memaklumkan MKT sebelum ini menetapkan UMNO merujuk kepada MKN dan ROS bagi mendapatkan panduan.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya satu perempat korum atau 25 peratus kehadiran masih perlu dibuat termasuk secara dalam talian atau maya.

Katanya, cadangan tarikh mesyuarat cawangan empat peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September ini.

“Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat satu perempat kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.