Parlimen tidak terbubar secara automatik hari ini

67

29 JUN: Parlimen atau Dewan Rakyat tidak terbubar secara automatik walaupun jarak masa enam bulan telah tiba hari ini iaitu 29 Jun 2021 sekiranya dikira dari tarikh 29 Disember 2020.

Perkara itu disahkan oleh Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz yang memaklumkan ini setelah meneliti Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu 2021.

Menurut beliau, jarak masa enam bulan antara sidang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertama dalam penggal berikutnya adalah peruntukan di bawah Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan dengan ‘memanggil’ Parlimen untuk bersidang.

“Pada Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) adalah dinyatakan: “Peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan…”.

“Oleh kerana Seksyen 14(1)(a) telah menyatakan, antara lain, ‘memanggil’ Parlimen tidak mempunyai kesan, maka jarak masa enam bulan juga tidak memberi kesan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Mengikut rekod, kali terakhir persidangan diadakan adalah pada 29 Disember 2020 dan dalam tempoh enam bulan, persidangan berikutnya dijadualkan berlangsung pada 29 Jun 2021.

Justeru, Shamrahayu yang juga merupakan Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan, Parlimen tidak terbubar secara automatik walaupun jarak masa antara dua persidangan telah melangkau enam bulan.

Kali terakhir Parlimen bersidang adalah pada tarikh 29 Disember 2020 setelah 23 pusingan usul pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dilaksanakan. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.