Kes positif harian kembali melebihi 6,000 kes

27

29 JUN: Kadar positif harian COVID-19 di Malaysia hari ini kembali meningkat melebihi 6,000 kes dengan Selangor menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,299 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata dengan 6,437 kes hari ini, jumlah kumulatif kes COVID-19 kini mencecah 745,703 kes termasuk 90.9 peratus atau 677,751 kes sudah sembuh.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 62,844 kes masih aktif termasuk 905 pesakit COVID-19 masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 455 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

NOOR HISHAM

“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 2,299 kes diikuti Kuala Lumpur (1,361), Negeri Sembilan (700), Kedah (284), Johor (271), Melaka (252), Pahang (250) dan Sarawak (242).

“Bagi negeri merekodkan kes di bawah 200 iaitu Perak (184), Sabah (178), Kelantan (131), Labuan (117), Pulau Pinang (115) manakala Putrajaya (32), Terengganu (21) dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kematian hari ini iaitu 107 kes, seramai 99 membabitkan rakyat tempatan manakala lapan lagi ialah warga asing.

Beliau berkata Selangor menjadi negeri mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 43 kes, diikuti 16 kes di Negeri Sembilan, 11 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tujuh (7) kes di Kedah, dan Melaka, enam (6) kes di Johor.

Katanya, Negeri Kelantan, Sabah dan Labuan pula masing-masing mencatatkan empat kes kematian, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta satu kes di Terengganu.

“Kementerian Kesihatan juga mengesan 27 kluster baharu COVID-19 hari ini termasuk 13 daripadanya membabit kluster komuniti, 12 kluster tempat kerja, masing-masing satu berkaitan kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan di Kelantan, Pahang, Selangor, Johor, Perak, Sabah, Sarawak, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

“Dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 2,821 kluster termasuk 1,934 sudah tamat dan 887 masih aktif,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.