Kaedah SOP wajar diletakkan di bawah kuasa kerajaan negeri

1,731

29 JUN: Menangani pendamik COVID-19 adalah suatu perkara yang tidak semudah yang kita sebagai rakyat fikirkan. Ianya melibatkan banyak faktor yang perlu diambil kira oleh pihak-pihak yang berwajib sebelum sesuatu keputusan diambil.

Dalam pada itu, sebagai pihak-pihak berwajib pula, sebarang keputusan yang diambil itu hendaklah mengelakkan perkara-perkara yang membangkitkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Pada saya dan ramai rakyat Sabah yang lain, walaupun kuasa-kuasa untuk menangani pendamik COVID-19 ini terletak di tangan Putrajaya, namun keadaan secara keseluruhannya di setiap negeri seperti bilangan rakyat yang dijangkiti  hendaklah diambil kira sebagai faktor utama dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) menangani COVID-19.

Sebagai contoh, keadaan pendamik COVID-19 di Sabah pada masa ini agak terkawal di mana bilangan rakyat yang dijangkiti berada di bawah 200. Untuk mengenakan SOP di Sabah sama seperti di negeri Selangor adalah suatu keputusan yang kurang bijaksana.

PANDIKAR AMIN

Dalam soal cara-cara menangani pendamik ini, adalah lebih baik pihak-pihak yang berwajib di setiap negeri diberikan kuasa oleh Putrajaya untuk menentukan cara mana yang terbaik setelah mengambil kira pendapat atau nasihat daripada pakar-pakar yang berwajib yang disulami dengan faktor-faktor lain seperti keadaan ekonomi, sosial dan tahap jangkitan di setiap negeri yang berkenaan.

Kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di media sosial, yang menegur tindakan pihak yang berwajib di Sabah yang membenarkan antara lain, makan di dalam restoran, gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan, kedai gunting dan aktiviti sukan yang tidak bersentuhan seperti memancing, berbasikal dan golf, adalah kurang bijaksana

Ini disebabkan kenyataan itu telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Sabah di mana kenyataan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat dan kerajaan negeri Sabah.

Kenyataan itu disifatkan sebagai tindakan yang langsung tidak menghormati dan tidak ambil peduli kepada perasaan rakyat dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin negeri Sabah yang lebih arif dengan aspirasi dan kemahuan rakyatnya dalam menangani pendamik COVID-19.

Rata-rata rakyat negeri Sabah menyambut baik keputusan kerajaan GRS yang melonggarkan SOP yang sedang berkuat kuasa. Namun, apabila kenyataan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dengan permasalahan pendamik COVID-19 ini tular di media sosial, kegembiraan telah bertukar kepada kekeliruan dan kecaman yang tidak memanfaatkan mana-mana pihak.

Secara peribadi saya berpandangan bahawa adalah lebih baik kaedah SOP dalam soal menangani pendamik COVID-19  ini hendaklah diturunkan kepada setiap negeri terutama bagi negeri Sabah dan Sarawak dengan berpandukan kepada nasihat-nasihat pakar kesihatan dan disulami dengan pemikiran pemimpin-pemimpin negeri yang sememangnya arif dengan keadaan negeri masing-masing. – Oleh TAN SRI PANDIKAR AMIN MULIA (Presiden USNO)

Get real time updates directly on you device, subscribe now.