COVID-19: Kes bunuh diri meningkat

108

29 JUN: Sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata sumber sama mendedahkan sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada PDRM, sehingga Mac lalu.  

Beliau berkata pandemik COVID-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

“Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan stres yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

NOOR HISHAM

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.  

Berikutan itu Dr Noor Hisham berkata masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Beliau berkata antara tanda-tanda berkenaan ialah perubahan tingkah laku kepada individu; sentiasa kelihatan sedih dan murung; hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa.

“Mereka juga suka mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan; mengalami gangguan tidur dan selera makan; bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling; dan menyalah guna alkohol dan dadah.

“Individu berkenaan juga akan menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga; selain menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu dinasihatkan agar mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk.

Selain daripada itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunikasi secara berkesan dengan individu yang mengalami kemurungan, antaranya dengan mengambil serius tentang masalah yang dialami; meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka;  

“Kita juga tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka; menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.