12 Lokaliti Ditamatkan, 8 Lagi Dikenakan PKPD

53

28 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 10 lokaliti di Sabah dan Kampung Goebilt serta Kampung Muara Tebas di Kuching, Sarawak akan ditamatkan seperti yang telah dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, enam lokaliti di perkampungan yang akan ditamatkan di Sabah adalah Kampung Rancangan

dan Kampung Kijang Merotai di Kalabakan; Kampung Tanjung Batu Tengah di Tawau; Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil di Kota Kinabalu serta Kampung Taun Gusi Peninting di Kota Belud. 

“Manakala selebihnya, PKPD yang akan ditamatkan di Sabah adalah Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment di Penampang; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan, Kudat dan Taman Semarak Megah di Tawau. 

ISMAIL SABRI

“Hanya dua lokaliti di Penampang, Sabah telah ditamatkan bermula tengah malam tadi manakala selebihnya akan ditamatkan mulai esok dan kesemua lokaliti ditamatkan mengikut seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lapan lokaliti di Negeri Sabah, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur bermula Khamis ini berikutan terdapat peningkatan kes di kawasan tersebut.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga lokaliti direkodkan di Petaling Jaya, Selangor iaitu di Mentari Court, PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS. 

“PKPD juga akan turut dilaksanakan di dua lokaliti di Kuala Lumpur iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa manakala selebihnya akan dilakukan di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Balung Cocos, Tawau di Sabah. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti tersebut berkuat kuasa 1 Julai sehingga 14 Julai 2021. 

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.