RM3.8 bilion untuk Program Subsidi Upah 4.0

135

28 JUN: Kerajaan bersetuju membelanjakan RM3.8 bilion untuk melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PSU 4.0 itu dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan tidak menetap syarat had gaji dalam pelaksanaan inisiatif PSU 4.0 kali ini.

“Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan.

MUHYIDDIN

“Dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti,” jelasnya.

“Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4,000 sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000,” katanya dalam perutusan khas sempena pelancaran PEMULIH hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sejak PSU diperkenalkan, kerajaan telahpun membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan yang akan diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.

“Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak RM425 juta,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin juga mengumumkan bahawa kerajaan menyediakan dana pembiayaan mikrokredit sehingga RM1.1 bilion untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM3 bilion dana mikrokredit sepanjang tahun ini bagi membantu usahawan mikro.

“Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional, masing-masing berjumlah RM500 juta dan TEKUN sebanyak RM100 juta.

“Institusi koperasi turut disokong melalui peruntukan RM20 juta bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

“Ini bagi membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian,” katanya.

Katanya, kerajaan juga menyediakan bantuan sekali bayar RM3,000 kepada lebih daripada 5,300 agensi pelancongan berdaftar, selain menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan serta perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.

“Ini sebagai pendorong kepada sektor pelancongan apabila negara mula beralih kepada Fasa Ketiga Program Pemulihan Negara (PPN) kelak.

“Apabila negara beralih ke Fasa Empat PPN, kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiat semula aktiviti pelancongan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.