Najwan Halimi Sah Dipecat Ketua AMK Selangor

275

28 JUN: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) Selangor, Najwan Halimi mengesahkan beliau menerima surat pemecatan jawatan daripada AMK, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu memaklumkan, beliau menerima surat itu pada jam 11 pagi yang menyatakan pemecatan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

“Saya terima surat tapi bukan pemecatan daripada parti, tapi pemecatan jawatan AMK negeri daripada Setiausaha Pusat (Ahmad Syukri Che Ab Razab).

“Pelantikan saya sebagai Ketua AMK Selangor adalah hak prerogatif (AMK) Pusat dan saya terima keputusan itu,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, AMK menerusi kenyataan menyatakan pihaknya melaksanakan penyusunan semula barisan Majlis Pimpinan MPK (MPAMK) dengan melakukan rombakan jawatankuasa organisasi AMK Perlis dan Selangor.

AMK menyifatkan keputusan sebagai isyarat untuk seluruh jentera parti bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Rombakan strategik itu dikatakan bagi memastikan gerak kerja lebih kemas dan tersusun dilakukan khususnya menarik pengundi muda.

Dalam pada itu, Najwan berkata, beliau tidak mengetahui punca pemecatannya sambil mengakui ia satu tindakan yang jarang berlaku.

“Saya tidak tahu dan tidak disebut apa sebabnya. Jarang ketua AMK negeri dipecat serta-merta seperti ini. Cuma dimaklumkan surat kepada saya adalah untuk membuat rombakan jawatan, itu saja.

“Dia pecat saya itu maknanya seluruh organisasi AMK Selangor itu turut gugur sekali dan kena lantik ketua baharu serta kena buat pemilihan dan jawatankuasa negeri baharu,” katanya.

Justeru, Najwan menjelaskan, beliau kini akan menumpukan khidmat sebagai ADUN dan pada masa sama memperkuatkan parti di Selangor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.