Kes bunuh diri : masyarakat digesa gandakan keprihatinan

39

28 JUN: Masyarakat digesa agar menggandakan keprihatinan dan sensitif terhadap sebarang perubahan yang berlaku kepada anggota keluarga, jiran dan rakan-rakan dalam tempoh negara berdepan pandemik wabak COVID-19.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, usaha tersebut perlu dilakukan susulan kes bunuh diri dalam kalangan rakyat yang sangat membimbangkan ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa agar komuniti masjid dan kejiranan juga perlu proaktif bagi memastikan ahli di dalam kawasan kejiranan mereka tidak berdepan masalah ketika tempoh ini.

“Bantulah dengan meringankan bebanan mereka dan salurkan maklumat mereka kepada pihak yang boleh menyalurkan bantuan jika perlu.

“Jangan biarkan mereka tidak terbela dan tidak dibantu,” katanya menerusi satu kenyataan media Jabatan Mufti Perak, hari ini

Sementara itu, Jabatan Mufti negeri itu menjelaskan bahawa hukum membunuh diri adalah haram berdasarkan firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 namun Islam mempunyai beberapa pendekatan dalam menangani tekanan dan masalah.

“Antara yang boleh dilakukan termasuklah memohon bantuan dan pertolongan ALLAH dengan kesabaran serta mengerjakan solat. Semua ujian dan masalah yang dihadapi adalah untuk menguji kesabaran manusia,” katanya. 

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa kerajaan bertindak segera dalam membantu menangani tekanan mental rakyat ketika pelaksanaan PKP bagi mengelakkan kejadian bunuh diri seperti yang kerap tular di media sosial.

Yang Dipertua PUM, Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir menerusi kenyataan memaklumkan, pelbagai faktor menyebabkan individu itu bertindak membunuh diri untuk keluar daripada masalah mereka.

“Saya turut mencadangkan kerajaan mewujudkan kerjasama dengan pelbagai agensi selain menguar-uarkan di media platform sesuai untuk mereka membuat aduan.

“Kementerian berkenaan perlu menggerakkan skuad prihatin rakyat atau skuad penyayang bagi memberikan nasihat kepada yang memerlukan sebagai langkah pencegahan dan pemulihan serta pemberian skim bantuan yang sewajarnya, “katanya. 

Tambah Al-Syeikh Abdul Halim, vaksinasi juga perlu segera dilaksanakan kepada golongan agamawan seperti imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid supaya dapat dibuka segera kepada orang awam. 
“Ia bagi mengawal gejala kebimbangan dan kemurungan yang berlaku dalam masyarakat. 

“PUM turut menawarkan bantuan kepada kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan beban tekanan yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia ketika ini dan berharap tindakan segera dapat diambil,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.