JAKIM tempatkan 160 pegawai di hospital seluruh negara

19

28 JUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menempatkan 160 pegawainya di hospital seluruh negara bagi menangani masalah kerohanian dan kemurungan dalam kalangan pesakit dan kakitangan hospital akibat COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pegawai terbabit akan membantu pihak hospital memberi khidmat psikospritual, bimbingan dan nilai syarie.

Katanya, mereka terdiri daripada Kader Post JAKIM, Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS) dan ‘Spiritual Provider’ lantikan Hospital Rehabilitasi Cheras yang akan diberikan latihan bagi membantu menangani masalah ini.

“Inisiatif ini bagi membantu kerajaan menangani masalah kemurungan dalam kalangan pesakit selain program MyCareCov19 yang dimulakan pada April 2020,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata selain agensi agama bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), MyCareCov19 turut mendapat sokongan beberapa kementerian.

Antara Kementerian terbabit ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengira kaum dan agama melalui perkongsian rasa, khidmat nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.