Sidang Parlimen secara hibrid belum diputuskan

29

27 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan kerajaan belum membuat kata putus sama ada sidang Parlimen akan diadakan secara fizikal ataupun hibrid.

Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata kaedah hibrid ialah pilihan sekiranya Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kaedah hibrid ialah sebahagiannya hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya.

TAKIYUDDIN

“Bagaimanapun Speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan dan kita belum memutuskan Parlimen bersidang guna kaedah mana.

“Parlimen dijangka bersidang akhir Ogos atau awal September sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat kelmarin,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. hari ini.

Terdahulu, Azhar dalam satu kenyataan mengesahkan persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama pada Jumaat bagaimanapun menyatakan beberapa persediaan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Berikutan itu, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.