Tembak Presiden: Colombia tawar ganjaran RM3.3 juta

35

27 JUN: Colombia menawarkan ganjaran kira-kira AS$800,000 (RM3.3 juta) untuk mendapatkan maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan pihak bertanggungjawab menyerang helikopter dinaiki Presidennya, Ivan Duque berdekatan sempadan Venezuela, kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan Colombia, Diego Molano, menerusi rakaman video dimuat naik menerusi media sosial, semalam.

“Ganjaran sehingga 3 bilion peso ditawarkan untuk maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab atas serangan pengganas itu,” katanya.

DUQUE

Dalam kejadian baru-baru ini, helikopter dinaiki Duque yang dilaporkan sedang menghampiri lapangan terbang di Cucuta dari Sardinata ditembak beberapa kali.

Insiden terbabit berlaku ketika Duque sedang dalam penerbangan bersama Molano; Menteri Dalam Negeri Colombia, Daniel Palacios dan beberapa pegawai.

Walaupun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, gambar dikeluarkan pihak Pejabat Presiden menunjukkan bahagian ekor serta bilah utama helikopter berkenaan terkena tembakan.

Ketua Polis Negara, Jeneral Jorge Vargas, berkata susulan itu, pasukan penyiasat dikerahkan ke sebuah kawasan kejiranan Cucuta yang berhampiran sebelum menemui dua senapang.

“Salah satu senapang berkenaan ialah AK-47 di mana pemiliknya masih belum diketahui dan sepucuk lagi berkaliber 7.62 yang mempunyai tanda pasukan bersenjata Venezuela,” katanya.

Sebelum ini, Duque berulang kali menuduh pemimpin sosialis Venezuela, Nicolas Maduro memberi perlindungan kepada pejuang pemberontak bersenjata dan pembangkang Colombia.

Bogota dan Caracas memutuskan hubungan diplomatik selepas Duque yang juga seorang konservatif, selepas beliau memegang kuasa kepimpinan negara pada 2018.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.