Polis tembak mati, penjenayah serang polis

31

27 JUN: Polis menembak mati seorang lelaki yang mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau kerana menyerang anggota polis dengan menggunakan parang di kawasan kebun Air Terjun, Bayan Lepas, di Pulau Pinang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal berkata kejadian dikatakan berlaku ketika dua anggota polis cuba menahan suspek yang juga orang dikehendaki di lokasi berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Kamarul Rizal berkata sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan menyerang mereka dengan menggunakan parang sehingga seorang cedera di tangan.

“Keadaan itu menyebabkan seorang lagi anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan rakan setugasnya.

“Tembakan berkenaan menyebab suspek terus rebah dan sebelum anggota berkenaan menghubungi ambulans. Bagaimanapun, pegawai kesihatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan suspek sudah pun meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Dalam pada itu, Kamarul berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang menjadi buruan polis mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk tujuh kesalahan mencuri dan 15 rekod berkaitan kes dadah.

Difahamkan, suspek tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelakkan dikesan pihak polis susulan terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya.

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.