2 premis TNB jadi PPV, pusat kuarantin

22

27 JUN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan dua premisnya sebagai fasiliti bagi membantu usaha kerajaan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata sejak 31 Mac lalu, TNB menjadikan Dewan Kelab Kilat TNB di Pangsapuri TNB, Kapar, Klang sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan penduduk berhampiran mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19.

Katanya, mulai 15 April lalu pula, sebanyak 1,016 unit Kolej Kediaman Bestari di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Bandar Muadzam Shah, Pahang, dijadikan Pusat Kuarantin COVID-19.

BAHARIN

“Penggunaan Dewan Kelab Kilat TNB itu dapat membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan kemampuan 600 penerima vaksin sehari.

“Walaupun jumlah ini tidak besar, usaha terbabit adalah sebahagian komitmen dan sokongan TNB terhadap inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi rakyat di negara ini,” katanya menerusi, hari ini.

Baharin berkata, usaha itu juga membolehkan TNB semakin dekat dengan komuniti sekitar kerana fasiliti terbabit bukan sahaja dapat dimanfaatkan warga kerja TNB dan penuntut UNITEN, tetapi juga rakyat.

“TNB juga menawarkan premis miliknya yang lain sebagai PPV selaras dengan inisiatif berterusan syarikat untuk mengurangkan kadar penularan virus ini.

“Sebagai organisasi yang prihatin terhadap situasi pandemik dan kesannya kepada masyarakat, TNB sentiasa mencari peluang untuk turut serta dalam usaha negara membasmi COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, TNB sudah memberikan sumbangan melebihi RM33 juta bagi menjamin kestabilan dan daya harap bekalan elektrik ke lokasi kritikal, termasuk PPV, Pusat Simpanan Vaksin (PSV) serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

“Bagi PPV di Dewan Kelab Kilat itu, TNB juga turut membuat penambahbaikan pada sistem kawalan di pencawang elektriknya di situ untuk membolehkan pemulihan bekalan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang gangguan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.