Sidang DUN Kelantan akan dilaksana secara bersemuka

27

26 JUN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub mengesahkan persidangan DUN Negeri itu bakal dilaksanakan secara bersemuka

Beliau memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lebih kecil iaitu 45 orang, berbanding persidangan Parlimen.

Namun, Abdullah berkata, tarikh persidangan DUN Kelantan hanya akan diketahui selepas tarikh sidang Parlimen ditentukan.

“Persidangan DUN Kelantan tetap akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung COVID-19, sebagaimana yang dilakukan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

“Kerajaan negeri juga sudah bersedia untuk mengadakan sidang DUN pada bila-bila masa,” katanya kepada media, hari ini. 

Terdahulu, Ahmad pada 20 Jun lalu menyatakan DUN Kelantan akan bersidang selepas Parlimen dibuka dan notis persidangan akan dibuat selepas mengambil kira pembukaan Parlimen.

Kali terakhir, DUN Kelantan bersidang ialah pada 13 April 2020 dan berlangsung selama 45 minit, ekoran pelaksanaan PKP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.