MAFI Peruntuk RM400 Juta Buat Petani, Penternak dan Nelayan

36

26 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan sebanyak RM400 juta kepada golongan petani, penternak dan nelayan bagi menyokong sektor pertanian dan industri makanan di samping menjamin sekuriti makanan negara. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank sahaja, RM350 juta telah diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). 

Menurut beliau, setakat 16 Jun lalu, sebanyak RM198.67 juta juga telah diluluskan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 15,612 PKS Mikro pertanian yang mampu memberikan pelbagai impak positif untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor yang terkesan.

“Kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus terhadap sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara. Kerajaan berada di atas landasan yang betul untuk beralih keluar dari kemelut pandemik COVID-19 kepada norma kehidupan seharian 

“Ini seperti mana yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merangkumi empat fasa yang akan membolehkan negara keluar dari pandemik COVID-19 namun kejayaan pelan ini memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya. 

“Orang ramai perlu sentiasa terus mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa serta terus berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,”katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan peralihan dari satu fasa ke fasa seterusnya mengikut strategi PPN adalah berpaksikan tiga indikator ambang utama ataupun threshold termasuk purata kes baharu 

COVID-19 harian, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan penduduk yang divaksin sepenuhnya.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dilaksanakan dengan peningkatan kadar pemberian vaksin harian. Ini akan membantu menjayakan PPN mencapai sasaran sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok, “katanya. 

Beliau turut mengesahkan semua operasi serta aktiviti yang melibatkan pemasaran hasil pertanian dan produk industri makanan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa sepanjang masa. 

“Kebenaran ini diberi bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang harus sentiasa dipatuhi oleh semua usahawan yang terlibat,” katanya. 

Terdahulu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut turun padang bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, Sabah hari ini. 

Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada 16,000 bakul makanan yang diagihkan oleh Pejabat Parlimen Beluran kepada KIR di Parlimen Beluran sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 yang mengandungi barangan keperluan asas bagi mengurangkan beban penduduk setempat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.