Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 hampir cecah angka 5,000

11

26 JUN: Jumlah kematian akibat penularan COVID-19 di Malaysia kini mencecah angka hampir 5,000 dengan 81 individu lagi disahkan meninggal akibat wabak maut berkenaan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan 81 kes terbaharu itu jumlah kes kematian akibat diserang penyakit COVID-19 di Malaysia kini mencecah 4,884 kes atau 0.67 peratus daripada 728,462 kes secara keseluruhannya.

Beliau berkata daripada 81 kes kematian dilaporkan hari ini 78 membabitkan rakyat tempatan, manakala baki tiga lagi individu meninggal dunia hari ini adalah warga asing.

“Sebanyak 81 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 30 kes di Selangor, 14 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 12 kes di Johor, sembilan (9) kes di Negeri Sembilan, lima (5) kes di Sarawak, masing-masing tiga (3) kes di Pahang dan Melaka, dua (2) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, serta masing –  masing satu (1) kes di Pulau Pinang, Kedah, dan Terengganu.

“Kebanyakan kes kematian adalah membabitkan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai sejarah menghidapi pelbagai penyakit kronik termasuk sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, strok, asma dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan 5,803 kes baharu positif COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia sekarang ialah 728,462 kes sekarang.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 60,646 kes aktif COVID-19 di seluruh negara sekarang termasuk 866 daripadanya  memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 435 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, KKM juga mengesan 14 kluster baharu COVID-19 hari menjadi jumlah kumulatif kluster dikesan di Malaysia kini ialah 2,755 kluster termasuk 1,887 kluster telah tamat dan 868 kluster masih aktif di seluruh negara.

“Sembilan daripada 14 kluster dikesan hari ini adalah membabitkan tempat kerja; masing-masing dua kluster pusat tahanan dan komuniti manakala satu lagi kluster kumpulan berisiko tinggi,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.