Ibu mengandung kini boleh terima vaksin Sinovac, AstraZeneca

44

26 JUN: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa golongan ibu mengandung dan menyusukan anak kini boleh menerima suntikan Sinovac dan AstraZeneca selain Pfizer.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata KKM kekal mengesyorkan ibu mengandung dan menyusukan anak menerima vaksin Pfizer berbanding Sinovac dan AstraZaneca yang dikategorikan sebagai bersesuaian.

“AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasikan kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setakat ini hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin (EDD) pada Ogos ini dan mereka akan diberikan keutamaan, manakala, lebih 10,000 ibu mengandung diberi janji temu dengan nota ‘Expectant Mother’ pada janji temu mereka.

“Kira-kira 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi hujung minggu ini dan ia berlangsung di seluruh negara dengan jumlah yang berbeza.

“Ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin Covid-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan Covid-19 untuk kumpulan itu,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebanyak empat PPV industri sedang beroperasi manakala 19 lagi akan beroperasi menjelang akhir bulan ini.

“PPV industri minyak dan gas di Kerteh, Terengganu akan beroperasi pada 1 Julai manakala PPV Industri Eastern Steel di Kemaman pula beroperasi pada 2 Julai,” katanya.

Beliau menjelaskan program vaksinasi sektor ekonomi akan diperluaskan ke industri lain dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Khairy berkata perancangan rapi sedang dibuat bagi mengelakkan kejadian kehabisan stok vaksin di PPV.

Mengakui terdapat beberapa PPV kehabisan stok vaksin, beliau berkata kadar penggunaan vaksin yang tinggi menyebabkan stok bekalan vaksin cepat habis.

“Kita ada penghantaran pada Julai, jadi perkara ini tidak akan berlaku. Kita mempunyai lebih lapan juta dos dan tujuh juta telah digunakan manakala sejuta dos dalam edaran,” katanya.

Beliau berkata seramai 99 peratus warga emas di Kuala Lumpur yang berdaftar sama ada telah divaksinasi atau mendapat janji temu untuk vaksinasi manakala Selangor mencatatkan 88 peratus.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.