Hentikan spekulasi penjualan LTSAAS-PAS

34

26 JUN: Semua pihak supaya menghenti sebarang spekulasi dan khabar angin tidak benar mengenai penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman terkini yang mengesahkan tiada penjualan LTSAAS.

Kamaruzaman berkata, melalui kenyataan media Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan, LTSAAS kekal sebagai operator di bawah Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sehingga tahun 2067 dan bertanggungjawab unutk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

“PAS sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Kewangan, dan YB Menteri Pengangkutan atas keprihatinan dan bertanggungjawab menjaga aset-aset strategik negara yang memberi manfaat kepada rakyat seperti LTSAAS.

“Justeru itu, PAS berharap semua penyebaran khabar angin mengenai penjualan LTSAAS hendaklah dihentikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan bahawa kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual LTSAAS, seperti didakwa pihak tertentu.

Ka Siong berkata, Kabinet juga setakat ini tidak membuat apa-apa keputusan untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta.

“Hangat diperkatakan ketika ini kononnya wujud cadangan untuk menjual LTSAAS di Subang.

“Sepertimana siaran media Kementerian Pengangkutan pada 7 Mei 2021, kerajaan terbuka dalam menerima cadanganan mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset baharu atau sedia ada, namun ingin ditegaskan setakat ini, tidak ada sebarang keputusan dibuat Kabinet berhubung perkara itu,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.