Polis India tahan individu beri suntikan COVID-10 ‘air garam’

22

25 JUN: Polis Mumbai menahan 10 individu, termasuk dua doktor di hospital swasta, selepas disyaki terbabit dalam isu memberikan suntikan vaksin COVID-19 palsu kepada ribuan penduduk di bandar itu apabila menyuntik mereka menggunakan ‘air garam’.

Menurut pihak berkuasa itu, proses pemberian vaksinasi terbabit dijalankan di sembilan lokasi berbeza.

“Seramai 2,000 penduduk itu menyangka sudah divaksinasi, tetapi sebenarnya mereka cuma disuntik dengan larutan ‘saline’ atau air garam.

“Selain mereka , 500 individu yang segelintirnya dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU), berkemungkinan menerima nasib sama,” katanya pada satu sidang media, baru-baru ini.

Kadar vaksinasi COVID-19 di India mencatatkan peningkatan mendadak minggu ini, selepas kerajaannya mengumumkan suntikan percuma berikutan kadar kes pandemik itu di negara berkenaan semakin kritikal pada April dan Mei.

Sementara itu, polis di Kolkata menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam dan mengaku mempunyai kelayakan ijazah sarjana genetik kerana dilaporkan menganjurkan lapan kem vaksinasi palsu.

Jurucakap rasmi Kolkata, Atin Ghosh, berkata botol dirampas itu menggunakan label palsu kononnya mengandungi vaksin COVID-19, AstraZeneca yang dijenamakan semula di India sebagai Covishield.

“Kami mendapati label Covishield dilekatkan di atas label lain, iaitu Amikacin Sulphate 500 miligram (mg), iaitu antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria di saluran kencing, tulang, otak, paru-paru dan darah,” katanya kepada agensi berita antarabangsa, AFP.

Pendedahan mengenai penipuan itu dibuat seorang aktres yang juga ahli politik, Mimi Chakraborty selepas dia menerima suntikan terbabit di salah sebuah kem dan kemudian merasa ragu-ragu serta memaklumkannya kepada pihak polis.

Selain itu, pegawai kesihatan Kolkata, Debashis Barui, berkata kebanyakan yang menerima suntikan palsu kini berada dalam keadaan panik dan bimbang kemungkinan terdapat kesan sampingan.

“Sekiranya keadaan membimbangkan, pihak berkuasa bandar ini akan menyediakan kem perubatan di kawasan berkenaan untuk merawat mereka yang disuntik dengan vaksin palsu,” katanya.

Salah seorang mangsa, Ruma Sikdar, 35, berkata dia merasa mengantuk dan sakit di bahagian lengan selepas menerima suntikan vaksin palsu itu.

“Apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah bagaimana untuk mendapatkan dos sebenar sebelum berlakunya gelombang ketiga COVID-19,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.