PKPD beberapa lokaliti di tiga negeri ditamatkan

26

25 JUN: Penurunan kes COVID-19 dan kluster pandemik terkawal di beberapa lokaliti di Terengganu, Kedah dan Sabah, menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di situ sebelum ini, ditamatkan seperti dijadualkan, esok.

PKPD itu membabitkan Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu, Terengganu; Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang; Kampung Kadazan, Tawau dan Kampung Lobou 1 serta Kampung Bukit Permai, Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penamatan PKPD di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah yang dijadualkan pada 29 Jun ini,ditamatkan lebih awal, esok.

Katanya, penamatan PKPD Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan Taman Telipok Jaya, Tuaran di Sabah yang dijadualkan pada 28 Jun ini, turut ditamatkan esok.

Ismail Sabri berkata, di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 3,374 ujian saringan dan 31 daripadanya disahkan positif, manakala sehingga kini di UUM Sintok, sebanyak 31 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 961 orang.

“Di Taman Villa Felca Nambazan setakat 19 Jun lalu, KKM menjalankan 18 ujian saringan dan lima disahkan positif COVID-19 serta daripada 137 ujian saringan di Kampung Kadazan hingga tempoh samadan, 22 dikesan positif.

“Di Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai sehingga 20 Jun lalu, KKM menjalankan 472 ujian saringan dan 17 daripadanya disahkan positif,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 137 ujian saringan pula dijalankan KKM di Kampung Skim Cocos dan 12 daripadanya disahkan positif.

“Setakat ini di Taman Puri Warisan, KKM menjalankan 667 ujian saringan dan 10 daripadanya positif, manakala di Taman Telipok Jaya, 346 ujian saringan dijalankan dan 11 individu positif,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.