Kerajaan tidak buat sebarang keputusan untuk jual LTSAAS

35

25: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan bahawa kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau berkata, Kabinet juga setakat ini tidak membuat apa-apa keputusan untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta.

“Hangat diperkatakan ketika ini kononnya wujud cadangan untuk menjual LTSAAS di Subang.

“Sepertimana siaran media Kementerian Pengangkutan pada 7 Mei 2021, kerajaan terbuka dalam menerima cadanganan mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset baharu atau sedia ada, namun ingin ditegaskan setakat ini, tidak ada sebarang keputusan dibuat Kabinet berhubung perkara itu,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Ka Siong berkata, hak pengoperasian LTSAAS sah sehingga tahun 2034, manakala Perjanjian Pajakan sehingga tahun 2067 adalah kekal di bawah Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB)  untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara, termasuk menetap, mengguna serta mengawal lapangan terbang itu.

MAHB, katanya, bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005, malah tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara berkenaan.

Katanya, kerajaan memahami dan mengulangi pendirian bahawa usaha serta pertimbangan sewajarnya diperlukan sebelum membuat keputusan akhir mengenai aset-aset strategik awam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, seperti LTSAAS.

“Pihak-pihak tertentu diminta untuk berhenti daripada menyebarkan maklumat salah mengenai perkara terbabit yang boleh mengelirukan orang ramai atau berdepan dengan tindakan susulan akan diambil,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.