Kerajaan pertimbang semua cadangan bantu rakyat

76

25 JUN: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian dikemukakan setiap pihak bagi meringankan beban rakyat.

Katanya, perkara itu dipertimbangkan bagi mengharungi Fasa 1 dan fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata, satu daripada permintaan sering diterima Kementerian Kewangan adalah pelanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.

“Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran dihadapi rakyat, malah saya secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya menerusi muatnaik di Facebook, hari ini.

Zafrul berkata, terdapat pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen serta simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Apa saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan dan KWSP sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat.

“Sesi Zoom dengan beberapa orang pempengaruh, baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan serta kehendak rakyat.

“Baru kelmarin saya bermesyuarat bersama ketua pegawai eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.