Kerajaan Pahang komited pulih Tasik Chini

54

25 JUN: Sebanyak kira-kira RM20 juta kos diperlukan Kerajaan Pahang bagi memulihkan kawasan seluas 600 hektar di Tasik Chini, Pekan yang terjejas teruk akibat aktiviti perlombongan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebelumnya kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta daripada Kumpulan Wang Pemulihan Lombong Pahang bagi tujuan itu yang dijangka bermula Ogos ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan, selain mengalu-alukan sekiranya ada individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu turut serta dalam usaha terbabit.

“Usaha pemulihan akan dilaksanakan secara kolektif antara jabatan dan kerjasama institusi pendidikan serta penyelidikan dalam pelbagai aspek, seperti fauna, flora, hidrologi, selain bidang berkaitan bagi memastikan matlamat pemulihan hutan dan tapak rizab biosfera ditetapkan tercapai.

“Komposisi tanah lombong yang terjejas teruk antara cabaran dalam usaha pemulihan, malah pelan pemulihan dirangka secara total merangkumi aspek biodiversiti dan hidrologi,” katanya menerusi kenyataan selepas melawat Tasik Chini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau sudah menulis surat kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk memohon bantuan memulihkan tasik semula jadi kedua terbesar negara itu.

Jelasnya, usaha pemulihan tasik itu sudah dimulakan sejak dua tahun lalu dengan tindakan kerajaan negeri mewartakan Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini pada 13 Mac 2019, bukan hanya dilaksanakan selepas isu berkenaan tular di media sosial kebelakangan ini.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) sudah memulakan proses pemulihan secara berperingkat dengan menanam tumbuhan bersesuaian, sama ada spesies buluh, tanaman tutup bumi dan spesies komersial tinggi, seperti pokok merawan siput jantan serta pokok meranti temak nipis.

“Masyarakat Orang Asli di Tasik Chini juga akan diberi peluang dalam usaha pemulihan menerusi penghasilan anak pokok hutan atau buluh bersesuaian dan JPNP akan mengeluarkan peruntukan bagi membina tapak semaian untuk mereka,” katanya.

“Kerajaan negeri optimis usaha pemulihan Tasik Chini boleh dilakukan dengan mengambil kira kejayaan memulihkan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang kini berada di kelas 1 selepas bertahun-tahun tercemar akibat pencerobohan tanah secara haram bagi tujuan pertanian,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.