51,500 Vaksin Buat Sektor Pengangkutan

36

25 JUN: Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah meluluskan 51,500 vaksin buat barisan hadapan sektor pengangkutan. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dengan program ini akan menanggung secara bersama kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di samping bekalan vaksin diberikan secara percuma. 

Justeru, beliau memaklumkan Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di pelabuhan tersebut dipilih untuk dijadikan sebagai PPV pertama bagi sektor maritim yang bermula pada hari ini yang akan dikendalikan  oleh lembaga tersebut. 

“Program ini akan melibatkan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan dan kapasiti pengendalian PPV ini adalah 1,000 orang sehari. LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi pelaut.

KA SIONG

“Pendekatan ini akan memanfaatkan seramai 18,596 orang atau 53% penyelia dan petugas pelabuhan di Wilayah Tengah yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama ini. Jumlah keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan di Malaysia adalah seramai 59,155 orang. 

“Kriteria kelayakan penerima ditentukan oleh KKM dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk ibu hamil atau menyusu, atau lain-lain faktor perubatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan pemberian vaksin sektor maritim yang diadakan pada hari ini bersempena Hari Pelaut Sedunia yang diraikan pada 25 Jun setiap tahun. 

“Pelaut yang merupakan tunjang kepada sektor perkapalan harus diberikan keutamaan memandangkan pergerakan barangan dan bekalan negara bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu program pemberian vaksin sektor pengangkutan ini akan diteruskan selepas ini melibatkan sektor pengangkutan udara yang akan bermula pada 5 Julai depan di Bangunan Terminal Utama KLIA yang akan melibatkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo.

“Bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat,” katanya. 

Sementara itu, Ka Siong memaklumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama pihak CITF sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) seperti Food Panda dan Grab dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara. 

“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan Kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut. MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan CITF untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama dalam memastikan petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.