Tiga ditahan tawar vaksin berharga RM420

41

24 JUN: Polis menahan tiga individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti penawaran penjualan vaksin COVID-19 dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 50 tahun itu, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Serbuan itu, katanya, dilakukan selepas IPD Putrajaya menerima laporan polis daripada Pegawai Penyelidik Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang mendapat maklumat berhubung aktiviti penjualan vaksin COVID-19.

AZMI

“Dalam serbuan sama kita merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen serta suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Jun 2021.

“Hasil siasatan awal mendapati, orang awam dihubungi suspek melalui telefon secara rawak dan menawarkan RM420 bagi dos suntikan vaksin COVID-19 serta bayaran akan dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azmi berkata, Ketua Sekretariat CITF Persekutuan sudah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak menjual vaksin berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang menjual vaksin COVID-19 dan sekiranya ada maklumat tentang kegiatan ini, mereka diminta menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-21159999 atau Sekretariat CITF, iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di talian 03-88934303,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.