Sidang Parlimen: Jangan ada agenda tersembunyi

64

24 JUN: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyuarakan harapan agar keghairahan mengadakan semula persidangan Parlimen tidak mempunyai ‘agenda tersembunyi’.

Justeru, beliau menggesa sidang rakyat digunakan sepenuhnya sebagai pentas merungkai pelbagai permasalahan berkaitan kebajikan rakyat, dasar kerajaan dan usaha membendung COVID-19.

“Kalau ghairah nak pergi Parlimen atas tujuan lain, termasuk demi memastikan kuasa politik seseorang dapat dipenuhi sehingga susahkan rakyat, lebih baik perbetulkan dulu niat.

“Presiden saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun mahu ke Parlimen kerana banyak perkara nak bincang dan bersama landaikan lengkuk jangkitan.

AHMAD FAIZAL

“Usahlah cakap nak lawan COVID-19, tetapi ada Ahli Parlimen sibuk sekarang pergi kumpul akuan bersumpah (SD), demi memastikan seseorang jadi Perdana Menteri, manakala seorang lagi jatuh (digulingkan). Itu yang kita nak elakkan,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di TV1, malam tadi..

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan pembukaan semula sidang Parlimen tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan perlu mengikut asas Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat. 

 Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun memberitahu beberapa perancangan rapi khususnya berkaitan aspek keselamatan dan teknikal juga wajar diambil kira.

“Sehubungan itu, persiapan mengadakan semula persidangan Parlimen harus dilakukan dengan rapi dan memerlukan masa, selain menepati asas perundangan.

“Bila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya Parlimen dibuka semula secepat mungkin, kita dalam blok kerajaan menjunjung pandangan sedemikian,” katanya. 

Justeru, beliau menegaskan kerajaan sedang berusaha memanggil sidang Parlimen dengan mendapatkan satu tarikh daripada Seri Paduka, disusuli notis hadir mesyuarat kepada semua Ahli Parlimen.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat (Datuk Azhar Azizan Harun) perlu menghantar notis 28 hari sebelum tarikh mesyuarat, sebelum satu sidang boleh diadakan.

“Semua kena maklum bahawa nak panggil sidang Parlimen ini bukan semudah anjur program menerusi WhatsApp, tetapi kena ikut asas perundangan,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.