Contohi UMNO, BN tidak sokong usul undi tidak percaya

48

24 JUN: Pemimpin dan wakil rakyat daripada parti lain harus mencontohi Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpendirian tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di persidangan Parlimen yang akan datang. 

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong  berkata, ini adalah masanya bagi semua pihak mengetepikan perbezaan politik serta memberi fokus dalam usaha menghentikan penularan wabak COVID-19 dan membantu rakyat mendepani kehidupan mereka.

“Saya berasa lega dan gembira dengan keputusan UMNO yang tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen.

“Ini kerana sekiranya pergolakan politik berterusan akan menjahanamkan negara apatah lagi dalam keadaan kes COVID-19 masih tidak stabil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju supaya Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

Ismail Sabri berkata, mereka memang menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun 2021.

Beliau menegaskan, Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Dalam pada itu, Tong Keong menegaskan pendirian teguh oleh ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN itu sudah pasti dapat meningkatkan kecekapan dan proses yang diambil semua pihak dalam bersama-sama melawan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sudah pastinya rakyat yang akan diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka ingini untuk memerintah dan memimpin negara melalui pilihan raya umum yang akan datang. 

“Biar kita lawan COVID-19, bangunkan ekonomi negara dan pulihkan kehidupan rakyat dahulu, kemudian barulah bincang mengenai politik.

“Seperti yang berlaku di Taiwan, seluruh warga mereka bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membanteras penularan COVID-19 tanpa mengambil kira latar belakang politik masing-masing. 

“Selepas negara pulih dari pandemik pandemik wabak tersebut, saya uakin pilihan raya umum pasti akan diadakan seperti yang dijanjikan dan dijamin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.