PKPD 2 lokaliti di Kedah, 5 di Sabah bermula lusa

32

24 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tujuh lokaliti, masing-masing dua di  Kedah dan lima di Sabah selama 14 hari, bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas kerajaan mengadakan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM). 

Katanya, pelaksanaan PKPD itu dapat membantu membendung jangkitan COVID-19 dari lokaliti terbabit ke kawasan lain dan memudahkan pemantauan ke atas individu positif yang dikuarantin.

“PKPD dikenakan di Kedah itu adalah Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim apabila sehingga kini, KKM merekodkan sebanyak 22 kes positif COVID-19 selepas 423 individu disaring.

“Manakala di lokaliti di Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, selepas sebanyak 27 kes positif COVID-19 dikesan daripada ujian saringan dijalankan KKM ke atas 38 individu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Sabah itu dilaksanakan di Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau; Kampung Kuala Merotai, Kalabakan; Kampung Tahak, Membakut, Beaufort dan Flat Indah Jaya, Sandakan.

Jelasnya, PKPD di Kampung Muhibbah, Menggatal dikenakan selepas KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila 12 individu dikesan positif daripada 18 ujian saringan dijalankan di lokaliti terbabit.

Bagi PKPD Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, arahan itu dikenakan selepas sehingga kini sebanyak 14 kes positif COVID-19 direkodkan daripada 66 ujian saringan dijalankan KKM di situ dengan kadar positiviti 21.21 peratus. 

“PKPD Kampung Kuala Merotai, Kalabakan, Sabah pula dikenakan selepas 13 daripada 26 ujian saringan dijalankan di lokaliti terbabit disahkan positif dengan kadar positiviti 50 peratus. 

“Di Kampung Tahak, Membakut, KKM merekodkan 11 kes positif daripada 98 ujian saringan dijalankan dengan kadar positiviti 11.22 peratus, manakala PKPD di Flat Indah Jaya, sebanyak 11 daripada 252 ujian saringan didapati psotif,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.