Pelajar perubatan ke Mesir wajib penuhi syarat minimum

18

24 JUN: Pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan ke Mesir wajib memenuhi syarat kelayakan minimum ditetapkan Kerajaan bagi mengelakkan mereka berdepan masalah pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Menurut Presiden MPM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Mesyuarat MPM ke-407 bertarikh 22 Jun 2021, menetapkan syarat kelayakan minimum itu sekurang-kurangnya individu terbabit adalah lepasan matrikulasi, asasi prauniversiti, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), A-Level atau peperiksaan setara dengannya.

Katanya, penetapan itu susulan pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian daripada enam tahun kepada lima tahun bagi kesemua tujuh buah universiti di Mesir yang diiktiraf MPM, seperti tersenarai di dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Beberapa siri perbincangan sudah diadakan MPM bersama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir.

“Mesyuarat terbabit juga bersetuju sekiranya syarat kemasukan minimum ini tidak dipenuhi, bakal graduan dari universiti berkenaan mungkin berhadapan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM.

“MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti terbabit daripada senarai universiti diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini berlanjutan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelasnya, semua pihak diminta bekerjasama, terutama badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan bagi memastikan syarat itu dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.