MARA longgarkan Syarat S3P, DanaNITA bantu usahawan

81

24 JUN: Dalam usaha membantu perniagaan usahawan terus beroperasi, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melonggarkan syarat Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DanaNITA.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya juga kini menambah baik skim bagi membantu usahawan yang terkesan akibat COVID-19 dan memastikan peluang pekerjaan terus mampu diwujudkan.

Katanya, S3P dilancarkan pada 7 April lalu bagi membantu usahawan Bumiputera ketika krisis kesihatan dihadapi negara ketika ini, menerusi penyaluran pembiayaan kepada Perniagaan Kecil dan Sederhana Mikro Bumiputera yang memerlukan sokongan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta kekal berdaya tahan.

“Bantuan DanaNITA pula adalah skim pembiayaan khusus untuk wanita yang diperkenalkan empat tahun lalu dan akan diteruskan dengan beberapa syarat dipermudahkan.

“Jumlah had pembiayaan dinaikkan untuk memastikan lebih ramai usahawan wanita dapat terus dibantu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azizah berkata, melalui kelonggaran syarat itu, MARA menyasarkan untuk membantu 1,000 usahawan terjejas dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk S3P, manakala 200 orang usahawan wanita disasarkan menerusi DanaNITA dengan peruntukan kewangan RM10 juta.

Jelasnya, melalui pembiayaan perniagaan S3P, usahawan boleh mendapatkan kemudahan, sama ada bagi menampung modal pusingan perniagaan, pembelian peralatan, perbelanjaan bagi tujuan promosi dan pemasaran atau kos pengurusan syarikat.

Beliau berkata, pembiayaan diberikan itu adalah patuh syariah dengan had maksimum adalah sebanyak RM50,000 dan tiada syarat sebarang cagaran atau jaminan.

“Bagi Skim Pembiayaan DanaNITA, MARA mengambil inisiatif menambah baik skim ini dengan menaikkan had maksimum pembiayaan sehingga RM150,000 berbanding sebelum ini, hanya RM50,000.

“Manakala bagi usahawan yang membuat pembiayaan bawah RM50,000, ia tidak memerlukan penjamin atau cagaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, sebagai usaha bagi memudahkan usahawan disasarkan ini untuk mengakses S3P dan DanaNITA, beberapa syarat dilonggarkan, iaitu perniagaan hanya cukup berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak mensyaratkan perlu beroperasi lebih enam bulan.

Tempoh bertenang juga, katanya, dilanjutkan dari enam bulan kepada 12 bulan serta dikecualikan syarat daripada mempunyai lesen perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada masa sama, Azizah berkata, kelonggaran dokumen berkaitan permohonan, seperti sebutharga ubahsuai, pembelian mesin dan alatan turut dikecualikan, manakala penyata akaun bank hanya diperlukan untuk tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

“Melalui pendekatan ini, lebih ramai usahawan wanita dapat diberikan akses bukan sekadar untuk mereka bertahan ketika COVID-19, malah kita juga memberikan tawaran pakej pembiayaan lebih baik supaya perniagaan mereka akan terus berkembang.

“Pendekatan ini bukan sekadar untuk memastikan perniagaan usahawan terus berdaya tahan, tetapi kembali merancakkan aktiviti perniagaan di peringkat Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.