Kes MB Kedah diserah ke pejabat pendakwaan

15

24 JUN: Polis sudah serahkan kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru di sini baru-baru ini, kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata ketika ini polis masih menunggu arahan daripada PPN untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kertas siasatan itu sebelum ini dihantar ke Bukit Aman dan telah dikembalikan kepada kami untuk diserahkan kepada PPN bagi tindakan selanjutnya. Memang kena hantar ke Bukit Aman terlebih dahulu kerana ia melibatkan penjawat awam (menteri besar).

“Lagipun siasatan ini mengambil sedikit masa kerana ia (siasatan) dijalankan berdasarkan video dan gambar yang tular, jadi polis perlu merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terlibat dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial kecoh selepas gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta pada 5 Jun lepas, sedangkan negara masih berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan antara sektor tidak dibenarkan beroperasi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.