Kerajaan Gagal:Jangan ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri

46

24 JUN: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan persepsi dan momokan kerajaan gagal merupakan satu permainan politik yang tidak sihat.

Annuar turut mengesahkan beliau mengetahui siapa yang mewujudkan perkara itu dan tujuannya adalah untuk menghakis kepercayaan kepada kerajaan sebagai satu strategi politik. 

“Jadi lebih baik kita tumpukan masa untuk saling sokong menyokong, yang renggang kita dekatkan, yang jauh rapatkan, yang retak kita boleh gabungkan daripada saling melemahkan satu sama lain.

“Kalau tengok pada angka dan fakta, kita adalah kerajaan yang cukup berjaya tetapi jangan ambil kesempatan daripada kesempitan. Kerajaan sedang sempit dihimpit oleh pandemik. 

“Dek kerana hanya agenda kecil yang bersifat peribadi kita meninggalkan amanat dan agenda yang lebih besar. Sebab itu pada saya gandingan yang ada pada kerajaan sekarang ini yang mana UMNO, PAS segalanya ada di situ perlu dipertahankan.Kalau ada lemah kita baiki kerana kita tidak mampu gagal,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Harakah yang membicarakan tajuk ‘Mengurus Covid-19: Betul Ke #KerajaanGagal?’, malam tadi dan turut dihadiri selaku ahli panel ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan Islamic Finance Forum (IFF) turut mengiktiraf Malaysia sedang menuju ke arah pertubuhan ekonomi 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar

“Jawatankuasa tertinggi Covid-19 itu MKN (Majlis Keselamatan Negara) khas Covid-19 dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan anggotanya menteri besar parti daripada Bersatu, menteri besar PAS, menteri besar Umno, menteri besar PKR, ketua menteri DAP, kesemuanya ada, “katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pengurusan COVID-19 turut diuruskan oleh semua kerajaan-kerajaan negeri dan seharusnya semua bersama agar pandemik wabak itu dapat ditangani dengan sebaiknya dengan segera. 

“Ini bukan soal kerajaan Perikatan Nasional yang menguruskan COVID-19 kerana perkara ini diuruskan oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang datangnya daripada semua parti, mengapa kita nak katakan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

“Sepatutnya kita ambil tanggungjawab bersama, kita tahu kalau dia nak mengkritik daripada orang UMMO, kita tahu UMNO yang duduk menguruskan COVID-19, yang duk kritik daripada orang PAS, PAS ada dalam pengurusan COVID-19, yang duduk kritik daripada DAP, DAP ada dalam Jawatankuasa itu.

“Kalau kita duduk hayun kata kerajaan gagal, siapa yang gagal, ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.