Indonesia sasar 7.5 juta penduduk Jakarta divaksin pada Ogos

26

24 JUN: Indonesia menyasarkan pemberian vaksin COVID-19 kepada 7.5 juta penduduk di Jakarta pada Ogos depan dalam usaha negara berkenaan membendung pandemik terbabit.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Gabenor Jakarta ketika beliau mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin di bandar raya berkenaan.

“Saya sudah memberitahu kepada gabenor bahawa menjelang hujung Ogos ini, kita menyasarkan seramai 7.5 juta penduduk di Jakarta akan menerima vaksin

“Biarpun sasaran itu disifatkan sebagai cita-cita tinggi, proses inokulasi terbabit perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mencapai imuniti kelompok di ibu negara Indonedia,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan Agensi berita, CNA, pakar menyifatkan sasaran terbabit boleh dicapai kerana Jakarta memiliki infrastruktur dan jumlah vaksin mencukupi,

Bekas Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pejabat Wilayah Asia Tenggara, Prof Tjandra Yoga Aditma, berkata penghasilan imunisasi memerlukan masa bagi mencapai imuniti kelompok.

Katanya, setiap jenis vaksin secara praktikal boleh menangani varian COVID-19 sedia ada, namun keberkesanannya berkurangan (bagi varian membimbangkan).

“Sekurang-kurangnya lima faktor memainkan peranan penting bagi mencapai sasaran terbabit, termasuk penyediaan vaksin, infrastruktur, kemudahan mendapatkan vaksin dan komunikasi awam,” katanya.

Ketua Bahagian Pembangunan Profesional Persatuan Pakar Epidemiologi Indonesia, Masdalina Pane, turut percaya sasaran itu mampu dicapai.

Jelasnya, secara relatifnya, perkara itu bukan isu besar kerana akses kepada penjagaan kesihatan di Jakarta adalah mudah, namun bagi mencapai imuniti kelompok menimbulkan sedikit persoalan.

Beliau berkata, imuniti kelompok bukan hanya diperoleh menerusi vaksinasi, malah mereka yang dijangkiti COVID-19 juga seharusnya memiliki antibodi.

“Namun terdapat kes di mana individu dijangkiti COVID-19 dan sembuh tidak berupaya menghasilkan antibodi,” katanya.

Indonesia kini merekodkan lebih dua juta kes COVID-19 setakat ini dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan sambutan Aidilfitri pada Mei lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.