Hishammuddin buat laporan polis isu surat palsu

78

24 JUN: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah membuat laporan polis hari ini, susulan penyebaran sepucuk surat mendakwa beliau memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan penubuhan kerajaan baharu dan menjadi Perdana Menteri.

Menerusi hantaran di Twitter rasminya, Hishammuddin berkata, laporan polis itu dibuat Setiausaha Akhbar beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Laporan ini dibuat bagi mengesahkan bahawa surat tersebut, kepala surat, tandatangan dan cop perakuan penerimaan adalah palsu serta rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan laporan ini juga, saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat dan ambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik perbuatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya konsisten politik fitnah dan politik kebencian tidak sepatutnya terus menjadi amalan politik negara,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang kononnya mendakwa Ahli Parlimen Sembrong itu memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.