Aktiviti penjualan vaksin, CITF buat dua laporan polis

30

24 JUN: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah membuat dua laporan polis berhubung dakwaan wujudnya aktiviti penjualan vaksin ketika ini.

Menurut kenyataannya, CITF berkata, laporan itu yang masing-masing bertarikh 14 Jun 2021 dan 22 Jun 2021 dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai.

“CITF sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan dakwaan penyelewengan ini.

“Kami difahamkan beberapa tangkapan sudah dibuat dan butiran lanjut akan diumumkan PDRM dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu, malam ini.

CITF berkata, tiada vaksin COVID-19 atau slot janji temu boleh dijual sama sekali, malah Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV)tidak mengeluarkan kelulusan kepada mana-mana pihak bagi tujuan terbabit.

“Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Orang ramai diminta untuk terus melaporkan kepada PDRM sekiranya ada tawaran penjualan vaksin kepada mereka,” katanya.

Bagi maklumkan, katanya, JKJAV, iaitu jawatankuasa ditubuhkan melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 yang dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, memutuskan bahawa vaksin COVID-19 tidak boleh dijual kepada penerima atau dibekalkan ke pihak lain tanpa kebenaran Kerajaan Persekutuan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.