Zahid diminta dedah nama MP UMNO sokong Anwar

143

23 JUN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta mendedahkan senarai nama ahli Parlimen UMNO yang menandatangani dokumen atau akuan bersumpah (SD) untuk memberikan sokongan agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata langkah itu penting bagi membolehkan UMNO mengambil tindakan disiplin di atas perbuatan ahli Parlimen UMNO itu.

Malah, Zahidi mendakwa perbuatan itu adalah bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) dan persetujuan sebulat suara perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu yang menetapkan dasar No Anwar, No DAP.

“Siapa yang tandatangan sokong Anwar itu dia tidak selari dengan keputusan MKT, jadi siapa yang tandatangan itu boleh ambil tindakan disiplin ke atasnya.

“Ahmad Zahid juga kena dedahkan siapa yang tandatangan dokumen itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zahidi yang juga Ahli MKT UMNO menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana presiden parti dan sekutunya masih meneruskan kerjasama dengan Anwar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku beliau menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, ahli Parlimen itu memberitahunya beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu kenamaan. 

Dalam pada itu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian bahawa beliau merupakan ‘mastermind’ dalam mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun Mohamed Nazri mengakui, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendedahkan gerakan itu adalah semata-mata memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong berkenaan bagi menjadi jurucakap kepada 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.