Undi tidak percaya sukar dilaksanakan-Dr Awang Azman

60

23 JUN: Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sukar dilakukan, memandangkan tiada ‘kata sepakat’ dalam kalangan Ahli Parlimen membabitkan parti politik tertentu.

Beliau berkata, perkara itu jelas dilihat dalam kalangan pemimpin UMNO yang berbelah bahagi sama ada mahu melakukan undi tidak percaya atau sebaliknya kepada Muhyiddin.

Katanya, DAP juga sebelum ini menyatakan parti itu tidak bersetuju untuk menyokong usul berhubung perkara berkenaan, malah hanya mahu membincangkan langkah pencegahan COVID-19, selain program vaksinasi dan perkara berkaitan krisis kesihatan terbabit.

“Perdana Menteri tidak perlulah takut dengan undi tidak percaya dalam membuat keputusan untuk Parlimen bersidang segera kerana perkara ini sukar dilakukan.

“Lagipun dalam UMNO sendiri berbelah bahagi, ada ‘kluster Kabinet’, ada ‘kluster bukan Kabinet’, malah ‘kluster bukan Kabinet’ ini juga bersaing antara satu sama lain, bertingkah,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.

Awang Azman berkata, setiap usul dibahaskan di Parlimen ditentukan Speaker Dewan, justeru beliau boleh memainkan peranan untuk menepis sebarang soalan atau isu berbangkit yang tidak memfokuskan kepada menangani krisis kesihatan, seperti pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.

“Jika ada undi tidak percaya pun, Speaker boleh letak sebagai perkara untuk dibahaskan kemudian bagi mengutamakan perbincangan topik releven mengenai COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Pensyarah Jabatan Sosio Budaya dan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) itu berkata, bagi mengatasi isu undi tidak percaya berkenaan, Perdana Menteri harus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis politik tercetus ketika ini.

“Antaranya dalam masa terdekat ini, mungkin Perdana Menteri boleh mengadakan perbincangan dengan pihak pembangkang untuk membuat perjanjian keyakinan dan pembekalan atau cadangan sesuai,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.