Pelaburan GIC Ventures bukti keyakinan terhadap Malaysia

28

23 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata suntikan pelaburan langsung asing (FDI) membabitkan jumlah besar dalam anak syarikat Sunway Bhd, Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd membuktikan keyakinan terhadap konglomerat dan ekonomi Malaysia.

Katanya, suntikan itu juga mencerminkan rekod prestasi cemerlang sektor penjagaan kesihatan negara ini.

Muhyiddin berkata, susulan penularan COVID-19 dan kesan buruknya ke atas hidup serta kehidupan manusia di seluruh dunia, kepentingan pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh, justeru beliau gembiran dengan pelaburan berkenaan.

“Saya gembira bahawa dana pelaburan Singapura, GIC Ventures Pte Ltd, melabur sebanyak RM750 juta bagi membeli 16 peratus kepentingan dalam bahagian penjagaan kesihatan konglomerat utama Malaysia, Sunway Group,” katanya dalam ucapan dirakam awal bagi majlis permeteraian pelaburan antara Sunway dan GIC (Ventures), hari ini.

Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, unit milik penuh GIC (Ventures) akan menyuntik pelaburan sebanyak RM750 juta ke dalam Sunway Healthcare menerusi pembelian 16 peratus pegangan itu dengan hasil bakal digunakan bagi pengembangan hospital sedia ada dan tujuan modal kerja.

Beliau berkata, pada 2019, negara menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan perolehan hospital sebanyak RM1.7 bilion.

Kebanyakan pengembara penjagaan kesihatan negara, katanya, adalah dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Disokong perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta negara yang bertaraf dunia dan infrastruktur canggih, Malaysia turut disenaraikan di kedudukan pertama Penjagaan Kesihatan Terbaik dalam Kategori Dunia pada indeks ‘2019 International Living Annual Global Retirement Index’, mengatasi negara seperti Perancis dan Thailand.

“Semua ini menjadikan Malaysia mengalu-alukan dengan tangan terbuka pelaburan domestik dan juga asing dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Kemudahan mantap penjagaan kesihatan swasta negara itu, jelasnya, disokong barisan doktor berpengalaman dan diiktiraf peringkat antarabangsa, selain kakitangan perubatan terlatih yang membantu menjadikan Malaysia satu daripada destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Menurut Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 127 peratus kepada RM127.9 billon pada 2027 daripada RM56.3 bilion pada 2017.

Pelaburan terbaharu dari Singapura itu menunjukkan bahawa Malaysia kekal menarik kepada pelabur, meskipun landskap ekonomi mencabar akibat daripada pandemik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.