Perlu kreatif biayai projek mampan

12

23 JUN: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata penggiat institusi kewangan perlu kreatif membangunkan kaedah penyelesaian baharu dan inovatif bagi membiayai projek mampan akibat cabaran semasa yang dihadapi perniagaan serta individu.

Katanya, usaha itu penting kerana tidak memadai bagi institusi kewangan untuk hanya memanfaatkan instrumen tradisional dalam memenuhi keperluan pembiayaan pihak berkaitan.

“Sebagai contoh, melaksanakan pendekatan gabungan pembiayaan adalah pilihan berdaya maju untuk perniagaan yang bergelut dengan impak perubahan iklim serta mengalami kerugian akibat pandemik ini.

“Tindakan menggabungkan pembiayaan konsesi dan komersial, seperti gabungan dana sumbangan atau instrumen kewangan sosial serta pinjaman tradisional dapat mengelak bebanan hutang yang boleh meningkatkan risiko masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Utama Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) 2021 bertemakan ‘Finance For Change’ secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

NOR SHAMSIAH

Nor Shamsiah berkata, sektor kewangan juga perlu lebih menumpukan usaha membiayai inisiatif mampan dan insentif pelaburan bagi sektor berkarbon rendah.

Jelasnya, terdapat banyak peluang, seperti projek di bawah kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), iaitu pelan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) untuk menjadikan negara ini sebagai hab ekonomi hijau, perkhidmatan dan teknologi serta Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

“Institusi kewangan juga berpeluang besar untuk menyokong aspek pemulihan hijau susulan pandemik ini menerusi penyediaan pembiayaan peralihan yang berkaitan amalan mampan.

“Perubahan iklim tidak hanya sekadar isu saintifik. Ia merupakan isu perniagaan dan sosial yang tidak dapat dipisahkan daripada tanggung jawab asas insitusi kewangan menguruskan risiko secara berhemat, bertindak secara bertanggungjawab terhadap pelanggan, selain mewujudkan nilai jangka panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata pembentukan JC3 pada 2019 BNM dan Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama pihak industri, berperanan sebagai tumpuan utama tindakan iklim secara kolektif dalam sektor kewangan serta merentasi pelbagai pihak berkepentingan.

Sejajar dengan tindakan konsisten membabitkan isu perubahan iklim, katanya, BNM akan memberi tumpuan dengan mengutamakan pengawalseliaan dan penyeliaan dalam masa terdekat bagi menggalakkan sistem kewangan yang berdaya tahan terhadap iklim.

Ketika ini, jelasnya, BNM dalam proses meninjau pelbagai pilihan untuk menggalakkan pendekatan pengurusan risiko lebih baik oleh institusi luar, termasuk melalui keperluan modal Tonggak 2 dan penilaian penyeliaan.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata dengan membangunkan pelaksanaan taksonomi berteraskan prinsip dan usaha JC3 bagi menangani jurang data, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan BNM, baru-baru ini sudah menerima pelan empat tahun bagi persiapan ujian tekanan perubahan iklim peringkat industri di pihak terbabit.

Perkara itu, katanya, turut disokong usaha di peringkat BNM yang menggunakan model kesan makroekonomi membabitkan kejutan iklim mengikut takrifan senario iklim.

“Kita akan mengambil langkah-langkah konkrit selanjutnya untuk meningkatkan ketelusan terhadap pengurusan dan pendedahan risiko berkaitan iklim dalam sektor kewangan.

“Sejajar usaha itu juga, BNM menerusi perbincangan dengan pihak industri kewangan akan memuktamadkan rancangan mandatori pendedahan risiko iklim oleh institusi terbabit pada tahun ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.