Dr Md. Amin dilantik Naib Cancelor UPSI yang baharu

59

23 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Prof. Datuk  Dr. Md. Amin Md. Taff sebagai Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 24 Jun 2021 sehingga 23 Jun 2024.

Beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran yang telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 7 Februari 2021.

KPT dalam satu kenyataan menjelaskan pelantikan Md Amin dibuat selaras dengan peruntukan dibawah Seksyen 12(1) Perlembagaan UPSI.

“Md. Amin, 50 tahun, memiliki berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dari UPSI pada tahun 2000, Postgraduate Diploma in Outdoor Education dan Ijazah Sarjana Outdoor Education dari University of Otago, New Zealand pada tahun 2004.

“Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (PhD) dalam Parks & Outdoor Recreation Management dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2010 dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultansi,” kata KPT dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Md. Amin juga telah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar.

Beliau memulakan karier sebagai Guru Bukan Siswazah pada tahun 1993 hingga 2000 dan terus meniti kejayaan akademik dan pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI pada tahun 2017, selain menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI.

Md Amin telah menyumbang kepakaran dan juga memaparkan kredibiliti kepimpinan melalui lantikan sebagai pakar rujuk dan ahli panel kesepakaran oleh pelbagai agensi termasuk lantikan oleh Jemaah Menteri Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Insiden Bomba Lemas.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Education Malaysia Washington DC, Amerika Syarikat, iaitu pejabat Education Malaysia terbesar di dunia.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Kanu ASEAN, menubuhkan Asia Pasific Outdoor Recreation Network dan terlibat aktif dalam penganjuran Washington International Education Conference dan Konferens NAFSA.

Md Amin juga mengilhamkan Anugerah Perdana Scholar Award di Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia.  

KPT juga percaya dengan pelantikan ini, Md. Amin mampu menyumbang dan membawa UPSI ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.