Utamakan tiga aspek dalam pengambilan guru baharu – CUEPACS

41

22 JUN: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap mengutamakan tiga aspek, iaitu kualiti, kemahiran dan minat dalam pengambilan guru seperti diumumkannya kelmarin, bagi memastikan mereka dapat menangani cabaran besar bidang perguruan pada masa depan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ketiga-tiga aspek terbabit perlu diberi penekanan supaya pengambilan secara besar-besaran itu hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata, tetapi tidak memberi impak diharapkan. 

“Ketika ini ramai graduan daripada siswasah pendidikan masih tidak mendapat penempatan dan jika mereka layak keutamaan seharusnya diberikan kepada mereka.

“Tempatkan mereka berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing supaya kemahiran dan keupayaan mereka dapat digunakan dengan lebih berkesan,” katanya menerima kenyataan, hari ini.

ADNAN

Menerusi laporan portal ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kelmarin, mengumumkan KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan dan kekurangan golongan pendidik itu yang dihadapi di seluruh negara.

Katanya, pengambilan itu membabitkan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam kalangan graduan Institusi Pendidikan Guru (IPG), selain graduan bukan ikhtisas pendidikan untuk menjadi guru dengan menilai latar belakang pendidikan calon pendidik terbabit.

Selain itu, Adnan berkata, CUEPACS berharap KPM dapat menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada, sebelum memberi penempatan kepada guru baharu secara ‘one off’.

“Selesaikan dahulu permohonan guru lama yang memohon untuk bertukar, terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyai ibu bapa uzur atau menghadapi masalah kesihatan serius.

“Guru bakal diambil pula tidak ditempatkan ke negeri yang ada permintaan pertukaran tinggi, seperti Kelantan, kedah, Terengganu kerana akan menjejaskan peluang guru lama yang sudah memohon ke situ,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, CUEPACS melihat pengambilan guru secara besar-besaran ini tidak sewajarnya diteruskan pada masa hadapan.

Katanya, sebaliknya pengambilan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa kerana langkah itu lebih wajar bagi mengatasi masalah semasa, bukannya dikumpulkan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, apapun CUEPACS menyambut baik pengumuman Radzi mengenai pengambilan guru secara ‘one-off’ kerana usaha berkenaan memperlihatkan kerajaan serius ingin menyelesaikan isu kekurangan golongan pendidik terbabit yang dihadapi negara sejak sekian lama.

“CUEPACS sangat berterima kasih atas keprihatinan Menteri Pendidikan dalam memastikan sistem penyampaian pendidikan negara yang ditunjangi guru ini berada di landasan sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, guru muda yang bakal diambil kelak diharap menggunakan peluang diterima itu sebaiknya bagi mendidik anak bangsa.

“Berikan contoh baik kepada anak-anak didik dan masyarakat di luar sana agar profesion perguruan disanjung dan dipandang tinggi.

“Andalah penerus kepada legasi kecemerlangan negara pada masa akan datang. Anda membawa nama baik perkhidmatan awam,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.