Ahli Parlimen PAS tarik sokongan terhadap PN adalah palsu

166

22 JUN: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, menafikan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Mat dan tujuh Ahli Parlimen PAS lain akan menarik balik sokongan diberikan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam masa terdekat.

Idris yang juga Ahli Dewan Negara, percaya penyebaran khabar angin sengaja dilakukan pihak tertentu bagi tujuan merosak hubungan antara pemimpin PAS dengan kepimpinan parti lain yang membentuk gabungan kerajaan PN sekarang.

Beliau berkata tindakan itu juga bertujuan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan PN akan jatuh dalam masa terdekat.

“Sejak semalam gambar ini tersebar oleh pemfitnah yang maha jahat. Saya jawab mudah saja, sebab apa tidak sebut 19 Ahli Parlimen (MP) PAS keluar, tidak sokong PN, baru rare.

“Tujuan fitnah ini tersebar adalah pertama untuk pecah belah di dalam parti PAS dan PN; kedua menimbul keresahan rakyat, bahawa kerajaan PN akan jatuh; ketiga untuk alih isu masalah dalaman musuh PN.

“Mereka juga berbuat demikian demi memenuhi modus operandi mereka , target (sasaran) setiap pimpinan PAS akan difitnah dan kelima yang penting biar fitnah ini ditularkan dahulu, mereka yakin ada akan yang percaya walaupun setelah dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tersebar satu poster yang mengandungi gambar Nik Mohamad Abduh berdiri di tepi sungai dan berlatarbelakangkan suasan kampung dan bendera PAS dengan tulis berbunyi ‘Saya ikut jejak UMNO keluar kerajaan PN, PAS, PPBM, PERIKATAN NASIONAL Insya-Allah bersama tujuh Ahli Parlimen PAS – YB Nik Abduh Nik Aziz, Ahli Parlimen Bachok, 21 Jun 2021.

Bagaimanapun, wartawan portal berita PNBBC yang melakukan semakan terhadap laman Facebook Nik Abduh tidak menemui sebarang hantaran sedemikian dan masih menunggu pengesahan Ahli Parlimen Bachok itu sendiri menerusi panggilan telefon dan pesanan WhatsApp.

Mengulas lanjut, Idris berkata pihak terbabit juga berbuat demikian bagi memastikan supaya pimpinan sibuk menjawab dan tidak sempat hendak menerang mengenai perjalanan parti sekali gus menimbul keresahan di kalangan ahli.

Idris juga percaya tindakan itu juga dilakukan supaya kejayaan kerajaan bagi vaksin pada rakyat dapat ditenggelamkan.

“Ingat! lepas ini banyak lagi fitnah akan ditularkan. Mereka boleh buat apa sahaja, sementara jari masih boleh bergerak untuk buat fitnah. Biar mereka buat sehingga malaikat maut ambil nyawa mereka. Mungkin terlalu banyak makan makanan haram maka ia sanggup buat apa sahaja. Hati sudah keras,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.