Setuju Parlimen bersidang, namun bukan dalam tempoh 14 hari

33

22 JUN: Majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju dan menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka berpandangan sebarang notis memanggil sidang Parlimen perlu dibuat 28 hari bukannya 14 hari seperti didesak oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, turut menepis dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak berguna sedangkan majoriti diwakili UMNO.

“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari (dan) itu sebenarnya tidak tepat.

“Dan kalau kerajaan ini tidak berguna, UMNO majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan pemimpin UMNO ramai di dalamnya?,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Shahidan menasihatkan mana-mana pemimpin UMNO yang menjadi sebahagian dalam kerajaan PN supaya memberikan gambaran yang betul dan tidak mengelirukan rakyat.

“Saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan. Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,”katanya.

Dalam pada itu Shahidan juga mendakwa sehingga kini majoriti Ahli Parlimen UMNO masih berpegang teguh dengan keputusan parti dalam Perhimpunan Agung lalu untuk kekal menyokong kerajaan PN hingga pilihan raya akan datang.

Berikutan itu, Shahidan berkata, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau turut senada dengan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ahmad Zahid perlu dikenakan tindakan di atas perlakuannya yang didakwa menyanggahi keputusan dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Mac lalu.

Katanya, Lembaga Disiplin UMNO perlu mengenakan tindakan kepada Ahmad Zahid kerana dikatakan terbabit dalam isu sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang dihantar kepada Agong.

Jelasnya, tindakan Ahmad Zahid itu bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya dan menetapkan bahawa tiada kerjasama dengan Anwar serta DAP menerusi slogan ‘No Anwar No DAP’ termasuk beberapa perkara lagi yang bertentangan dengan perjalanan parti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.