PRU 15 tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat-Pakar Kesihatan

36

22 JAN: Kerajaan disarankan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya apabila negara terbukti telah berjaya mencapai imuniti berkelompok dan wabak COVID-19 berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud berpandangan, PRU 15 tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira aspek kawalan wabak, khusus adanya pelbagai varian baharu COVID-19 yang cepat merebak.

Justeru itu, beliau menegaskan PRU-15 hanya boleh diadakan jika negara mencapai imuniti kelompok dan diharapkan kerajaan meneliti perkara ini dengan sebaiknya. 

“Pengurusan krisis COVID-19 memerlukan asas politik dan pengurusan yang stabil. Ada kemungkinan jika PRU diadakan, dasar akan bertukar dan menteri yang kini bertanggungjawab dalam portfolio berkaitan pengurusan COVID-19 turut berubah.

“Ini merugikan kerana pasukan sedia ada sudah membuat yang terbaik. Jika pasukan baharu mengambil alih dan perlu belajar mengenai perincian pengurusan pandemik, ia akan membazir masa dan melambatkan usaha mengeluarkan negara daripada belenggu pandemik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Semalam, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada akhir tahun ini iaitu selepas Belanjawan 2022 dibentangkan.

Beliau yang mendedahkan perkara itu berkata, gambaran berkenaan diberikan Muhyiddin ketika mesyuarat Bersatu Johor yang berlangsung secara maya pada 16 Jun lalu

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, PRU15 dapat dilaksanakan seandainya Belanjawan 2022 di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri selesai dilakukan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, sekiranya musim hujan berlaku di kebanyakan negeri terutama di pantai timur disebabkan monsun timur laut pada ketika itu, tidak mustahil PRU15 akan ditunda sehingga awal tahun hadapan.

Sementara itu, Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, bukti bahawa negara sudah capai imuniti kelompok perlu berdasarkan kajian teliti dan data lengkap berikutan pelbagai jenis varian COVID-19 yang wujud di Malaysia ketika ini.

Menurut beliau, Malaysia mungkin boleh mengawal pandemik COVID-19 jika berjaya dalam program vaksinasi dan pada masa sama, berhati-hati membuka kembali ekonomi serta sempadan negara.

“Imuniti kelompok bukan hanya bermaksud liputan vaksinasi mencapai 80 peratus penduduk negara ini namun, ia dicapai apabila penularan jangkitan berkurangan dengan ketara dalam kalangan masyarakat disebabkan vaksinasi. 

“Sekarang ini tiada keperluan mendesak, kita tidak patut terburu-buru mengadakan PRU kerana pandemik ini tidak akan betul-betul reda selagi negara lain belum dapat mengawal COVID-19 di tempat mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.