Polis siasat dakwaan Timbalan Menteri KPKT langgar SOP

105

22 JUN: Siasatan mengenai penularan gambar Sambutan Hari Bapa oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib di kediamannya di Sg Ling, Maran sedang giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran. 

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kertas siasatan telah dibuka oleh PKD Maran selepas mendapat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang susulan penularan gambar berkenaan dalam media sosial.

“Siasatan lanjut diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Maran. Justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. 

“Sentiasalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara sepanjang masa agar dapat memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mengulas lanjut, Norzamri memaklumkan berdasarkan maklumat, gambar yang ditularkan berlaku pada 19 Jun lalu itu diambil oleh jurufoto Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah menghantar gambar itu ke dalam kumpulan WhatsApp untuk simpanan mereka.

“Gambar tersebut diambil oleh jurufoto kementerian beliau (Ismail) dan telah menghantarnya menerusi grup WhatsApp hanya untuk simpanan mereka.

“Mereka yang hadir pada majlis itu ialah kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pejabat Parlimen Maran. 

“Majlis itu dilakukan bagi tujuan penyediaan bungkusan barangan sumbangan bantuan mangsa COVID-19 dalam Parlimen Maran, selain perbincangan mengenai perancangan menggalakkan pendaftaran vaksin bagi kalangan masyarakat orang asli di bawah Parlimen Maran,” katanya. 

Semalam, tular di media sosial gambar Ismail bersama sembilan individu dipercayai mengadakan jamuan meraikan Hari Bapa di kediaman pemimpin UMNO itu.

Gambar tersebut dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama keterangan ‘Majlis Sambutan Hari Bapa di kediaman YBTM KPKT’ dengan bertandakan lokasi di Sungai Ling, Maran.

Netizen memberikan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Maran itu yang didakwa mengadakan jamuan dengan melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung ketika negara sedang bergelut menangani penularan Covid-19.

Bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada sembilan individu dalam gambar tersebut merupakan ahli keluarga Timbalan Menteri berkenaan serta tarikh jamuan tersebut berlangsung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.