PKPD lima lokaliti di Sabah, satu di KL tamat ikut jadual

13

22 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan ditamatkan seperti yang telah dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang ditamatkan di Sabah ialah Taman Perdana di Lahad Datu, Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata di Kudat di samping Kampung Sungai Obar Batu Tujuh dan Fasa 9B Taman Indah Jaya di Sandakan.

Menurut beliau, manakala di Kuala Lumpur kluster yang ditamatkan adalah Kampung Sungai Penchala dan kesemua kluster ini ditamatkan berikutan kes telah menurun di samping kluster adalah terkawal di samping semua kes positif telah menerima rawatan.

“PKPD di Taman Perdana telah ditamatkan hari ini bermula tengah malam tadi manakala lokaliti di Sandakan Sabah serta Kuala Lumpur akan ditamatkan bermula esok.

“Manakala hanya PKPD di Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata di Kudat, Sabah akan ditamatkan pada 24 Jun seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama di Kunak, Sabah bermula 24 Jun sehingga 7 Julai depan.

Menurut beliau, PKPD ini dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

“Kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah bermula 24 Jun sehingga 7 Julai, di mana 22 orang didapati positif hasil saringan 200 ujian yang dilakukan menerusi komuniti di situ,” katanya. 

Sementara itu, mengenai task force operasi Pematuhan, Ismail Sabri memaklumkan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan peningkatan mendadak kepada 959 berbanding 825 kelmarin.

Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 9,23 individu dikompaun manakala 36 orang telah direman . 

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 251 kes dan

rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran serta makan di premis sebanyak 198 kes. 

“Kesalahan lain adalah individu gagal merekod butiran diri daftar masuk premis (144), tidak memakai pelitup muka (134), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84)

, membawa penumpang berlebihan (64), premis gagal patuhi arahan (19), aktiviti pusat hiburan (4) dan lain-lain (61), “katanya. 

Sehubungan itu, Ismail Sabri menegaskan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa amat penting kerana boleh mengurangkan penularan jangkitan sekali gus melandai lengkuk COVID-19.

“Beberapa hari kebelakangan ini, jumlah kes jangkitan COVID-19 telah menurun sehingga kurang daripada 5,000 kes sehari.

“Walau bagaimanapun, dalam keadaan semasa kita tidak boleh selesa dengan trend kes yang dilihat masih tidak stabil dan pematuhan SOP perlu dikekalkan segenap lapisan masyarakat.

“Justeru, saya berharap semua pihak memainkan peranan ini termasuk

meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.