Graduan perubatan boleh guna Sijil Pendaftaran Sementara

18

22 JUN: Graduan perubatan yang berdepan masalah penempatan latihan siswazah, boleh menggunakan Sijil Pendaftaran Sementara untuk mendaftar dalam sistem e-Housemen.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Sijil Pendaftaran Sementara itu juga membolehkan mereka membuat pemilihan penempatan latihan siswazah, mulai hari ini.

“Satu notifikasi sudah dihantar menerusi emel kepada graduan berkenaan, semalam.

“Mana-mana graduan daripada sejumlah 267 orang graduan itu yang belum menerima notifikasi emel, boleh memaklumkan segera kepada urus setia menerusi alamat emel [email protected] untuk dibantu sewajarnya.

“KKM mengambil perhatian serius berhubung isu terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, wujud isu dihadapi sebahagian graduan perubatan yang sudah diberi Surat Layak Daftar daripada Majlis Perubatan Malaysia (MPM), namun penempatan latihan siswazah terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Penangguhan itu selaras penjelasan MPM supaya tawaran pelantikan dan penempatan latihan siswazah ditangguhkan sementara waktu bagi memberi ruang kepada MPM menyelesaikan isu keperluan pewartaan semula nama kelayakan dan/atau nama universiti yang didapati berbeza mengikut Jadual Kedua Akta Perubatan 1097 (Pindaan 2012).

Jumlah universiti terbabit adalah sebanyak 36 buah yang menyebabkan isu berkenaan menjejaskan seramai 267 graduan perubatan yang sudah mendaftar dan melepasi tapisan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Perbezaan itu juga menyebabkan MPM tidak dapat mengeluarkan Sijil Pendaftaran Sementara sehingga perkara terbabit diselesaikan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.