NS Terima 600,000 bekalan vaksin bulan depan

19

22 JUN: Negeri Sembilan akan menerima 600,000 dos vaksin dibekalkan kerajaan mulai bulan depan bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata peningkatan kes harian dan kluster di negeri itu, termasuk membabitkan tempat kerja membabitkan sektor industri, mendorong kerajaan menyegerakan proses berkenaan.

“Ini bagi membolehkan kadar suntikan sehingga 20,000 dos sehari kepada rakyat, iaitu kapasiti tertinggi dapat dilaksanakan bermula Julai, berbanding 2,000 dos sahaja ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Badan Berindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di Bilik Gerakan Wisma Negeri di Seremban, Negeri Sembilan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Khairy berkata, penambahan jumlah vaksin itu akan disusuli dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Justeru, kita yakin sasaran untuk memberikan suntikan vaksin kepada 80 peratus rakyat Negeri Sembilan akan dapat dicapai lebih awal, iaitu pada Oktober berbanding jangkaan sebelum ini pada Disember depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak dua PPV industri akan dibuka hujung bulan ini dan awal bulan depan di negeri berkenaan, iaitu masing-masing di Dewan d`Tempat Bandar Seri Sendayan dan Dewan Pusat Komersial Catleya di Senawang.

Katanya, kapasiti suntikan di PPV industri berkenaan adalah sebanyakan 1,500 dos sehari.

Pembukaan PPV industri terbabit, jelasnya akan membabitkan beberapa syarikat yang berdaftar menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam- Swasta (PIKAS).

“Menerusi program PIKAS, kerajaan menawarkan kepada industri untuk sertai program vaksinasi dan kerajaan hanya memberikan suntikan vaksin secara percuma manakala kos-kos lain ditanggung pihak kilang.

“Setakat ini 46 kilang di Negeri Sembilan sudah menyatakan persetujuan menyertai Program PIKAS yang membabitkan 15,000 orang pekerja.

“Berhubung vaksinasi dalam kalangan penghantar makanan dan petugas kurier pula, usaha itu akan bermula bulan depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.